KUALA LUMPUR 7 Sept. – Golongan berpendapatan tidak tetap seperti petani dan pengusaha kecil berpeluang mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana berkuat kuasa 1 Januari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia berikutan langkah kerajaan menyediakan dana permulaan sebanyak RM50 juta sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Berhad untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan itu.
“Kerajaan yakin kemudahan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2008 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan menyediakan sebanyak RM381 juta bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah bagi membantu golongan itu menikmati rumah lebih selesa.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan RM190 juta bagi PPR Bersepadu.
“Pada masa ini, 12,000 unit PPR Disewa dan 25,000 unit PPR Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan,” jelasnya.
Katanya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga akan mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah iaitu 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai.
“Sebanyak 36,000 unit pula di bawah Program Perumahan Mampu Milik dan 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat,” ujarnya.
Article Source: TimesPR NewsWire
About the Author: wan rahman
Saturday, January 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment